Kilauan Tembaga...

"Pandai Tembaga" atau "Pandai Besi" adalah gelaran diberi kepada individu yang berkemahiran membentur kedua jenis logam ini menjadi kraf yang tinggi nilai seninya. Khabarnya, logam tembaga ditemui manusia kira-kira 8000 tahun sebelum Masihi. Perusahaan tembaga di negara ini kebanyakkannya berpusat di pantai timur Semenanjung iaitu di negeri Kelantan dan Terengganu. Namun dengan bangganya diwar-warkan bahawa artifak tembaga yang tertua iaitu gong telah ditemui di Terengganu.
Menyentuh mengenai perusahaan pembuatan tembaga di Terengganu, Kampung Ladang iaitu kampung saya merupakan kawasan untama yang dikenalpasti sebagai penyumbang terbesar kepada industri ini. WANISMA Craf & Trading tidak lagi perlu diperkenalkan kepada pencinta seni kraf tembaga. Merupakan perusahaan warisan keluarga yang kekal gah sehingga kini. Disamping menawarkan barangan tembaga yang berkualiti tinggi, pengunjung juga boleh melihat sendiri proses-proses membuat tembaga bermula daripada acuan sehingga proses melarik.

Saya dulu, waktu kecil-kecil kadang-kadang tercongok ralit memerhati pekerja-pekerja membuat proses melarik tembaga. Semuanya dilakukan dengan penuh teliti dan berseni. Yang paling saya suka, melihat proses membentuk acuan lilin pelbagai jenis serta saiz yang memberikan gambaran awal rupa barangan tembaga yang akan dihasilkan setelah selesai semua proses pembuatan.

Bagaimana acuan lilin dibentuk? Apa proses melarik tu? Takkan dua ini sahaja proses membuat tembaga? Soalan-soalan yang biasa bermain difikiran, betul tak? Sekiranya saudara mahu soalan-soalan itu terjawab, berkunjunglah ke sini..segalanya akan berada didepan mata anda..saksikan sendiri dan notakan sebagai salah satu pengalaman perjalanan yang sangat berharga untuk diwariskan satu hari nanti. Ini adalah kerana perusahaan tembaga di Kampung Ladang adalah seni warisan sejak 500 tahun dahulu.



Maklumat WANISMA Craf & Trading untuk dikongsi bersama:

Wan Mahadi 'tembaga' penerus warisan

KUALA TERENGGANU 14 April - Sanggupkah anda berpanas bara api sehingga mencapai 1,300 darjah celcius. Sama ada sanggup atau tidak, inilah kehidupan yang terpaksa dilalui oleh Wan Mahadi Wan Ismail (gambar), 45, sejak membabitkan diri dalam industri pembuatan tembaga di Kampung Ladang di sini, hampir 20 tahun lalu. Beliau terpaksa melakukan pekerjaan ini demi mencari nafkah selain mengekalkan produk warisan tembaga yang kian pupus.

Setiap hari, Wan Mahadi terpaksa bermain dengan bara api dengan menuang tembaga cair dalam panas bara api sebelum dituang dalam acuan yang diperbuat daripada campuran tanah liat dan pasir.
Kerja-kerja menuang tembaga ini menjadi satu syarat utama dalam proses pembuatan tembaga yang diusahakan secara tradisi di kampung tersebut sejak 500 tahun lampau.

Campuran tanah liat dan pasir itu dibentuk dengan penuh kemahiran bagi menyalut acuan lilin.
Selepas siap dibentuk, acuan tanah liat melalui lubang yang disediakan meninggalkan ruang-ruang kosong di dalamnya. Tembaga cair yang panas kemudiannya, dituang ke dalam acuan tanah liat bagi mengambil tempat lilin. Apabila sejuk, acuan tanah liat itu dipecahkan dan barangan tembaga yang masih kasar dicanai, dilarik dan digilap dengan mesin sebelum dijual.

Demikian kehidupan yang dilalui oleh pengusaha tembaga, Wan Mahadi yang kini mengusahakan tembaga di Kampung Ladang, sebuah perkampungan tradisional yang terletak di tengah bandar raya Kuala Terengganu.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati sebilangan penduduk di Kampung Ladang dan beberapa buah kampung berhampiran amat tekun menghasilkan pelbagai produk tembaga sama ada yang digunakan dalam pelbagai adat mahupun kehidupan seharian.

Wan Mahadi adalah pemilik syarikat Wanisma Craft & Trading dan merupakan seorang daripada 18 pengusaha pembuatan tembaga secara tradisional di Kampung Ladang.
Ia juga menjadi keunikan penduduk Kampung Ladang yang masih mengekalkan industri tembaga di bengkel halaman rumah sehingga menjadikan satu pemandangan biasa bagi sesiapa berkunjung ke Kampung Ladang yang kini dihimpit pembangunan.

Wan Mahadi mewarisi pembuatan tembaga daripada ayahnya, Wan Ismail Wan Idris yang juga pengusaha tembaga terkenal. Darah seni yang mengalir dalam jiwa Wan Ismail mengalir bukan sahaja daripada ayahnya malah ibunya, Nik Rakna Nik Embong yang merupakan pengusaha batik yang tersohor di Terengganu pada tahun 60-an.

Menurut Wan Mahadi, sehingga sekarang terdapat sekurang-kurangnya 17 pengusaha mengusahakan tembaga. Sembilan daripada pengusaha itu terdapat di Kampung Ladang Tok Pelam, tiga di Kampung Ladang Paya dan lima lagi di Ladang Sehat. Katanya, menurut cerita dari mulut ke mulut sejarah perusahaan tembaga di Kampung Ladang dikatakan bermula hampir 500 tahun lampau.

''Ia merupakan satu pekerjaan utama penduduk di sini, yang mewarisi pekerjaan tradisi itu daripada datuk nenek moyang sejak zaman berzaman," katanya ketika ditemui di bengkel pembuatan tembaga Kampung Ladang di sini, baru-baru ini. Persoalannya di sini, kenapa Kampung Ladang menjadi tumpuan pengusaha tembaga walhal kawasan lain tidak sedemikian?

Menurut Wan Mahadi lagi, sebahagian besar daripada mereka datang dari daerah lain termasuk Pattani dan Yunan memulakan industri tembaga di sini, kerana Kampung Ladang terletak berhampiran muka kuala Sungai Terengganu yang menjadi pelabuhan utama pada zaman silam. Katanya, dengan kedudukan di muara sungai memudahkan mereka mendapatkan bahan mentah seperti tembaga dan menjual kepada pedagang asing.
Selain itu, menurut cerita lisan ayahnya yang juga pengusaha tembaga pada asalnya tukang logam termasuk tembaga dan perak, beroperasi di istana.

Katanya, kebetulan pula Kampung Ladang terletak berhampiran Istana Maziah, justeru memudahkan mereka berkhidmat dengan membuat peralatan yang diperlukan oleh istana dan telah mengehadkan segala perkembangannya ke daerah-daerah luar.
''Pengetahuan dan kemahiran dimiliki hanya dicurahkan kepada orang-orang tertentu sahaja, khasnya kaum keluarga agar kemahiran terus diwarisi daripada satu generasi ke generasi yang lain dan terus hidup hingga sekarang.
''Perusahaan ini diusahakan di bawah rumah dan di sekitarnya. Ia adalah warisan daripada satu generasi ke generasi yang lain iaitu dari datuk, ayah dan anak," katanya lagi.

Wan Mahadi menambah pada zaman pemerintahan Kesultanan Terengganu (Sultan Zainal Abidin) kerajaan negeri Terengganu ada menjalin hubungan kerjasama dengan kerajaan Siam dan ufti adalah cenderahati.
Pada sekitar tahun 1980-an, terdapat kira-kira 150 pengusaha yang membabitkan diri dalam industri ini, dengan kira-kira 95 peratus daripada mereka mengusahakan secara sepenuh masa.

( http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0415&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_05.htm )

3 comments:

Telor Power at: June 13, 2012 at 12:32 PM said...

ok blog ini dah boleh buat sebagai panduan wa utk jelajah terangganu lebih hebat lagi


nice

my at: October 28, 2012 at 9:41 PM said...

aikkkk....bro
kau pon sampai sini gak
hahahaha...blog yang dah ada penunggu ni

lin lydwina at: May 19, 2014 at 10:12 PM said...

nak betul tahu macamna penghasilan acuan lilin ni dihasilkan mengikut step

Post a Comment

Kawan Kawan